Wednesday, 2 December 2015

Adab-adab zakat dan bersedekah

Dalam kehidupan kita seharian ini kita diberi masa oleh Allah Taala sebanyak 24 jam sehari semalam.Ini bererti nikmat masa dan waktu ini merupakan modal atau peluang kita untuk memperbanyakkan amal ibadah kita.Maka menjadi tanggungjawab dan sifat amanah dalam diri kita ini untuk mengisi masa yang diberi hanya untuk beribadah kepada Allah Taala tuhan sekalian alam.

Pada kali ini suka penulis ingin berkongsi sedikit ilmu dengan pembaca sekalian berkaitan dengan adab-adab atau akhlak dalam bersedekah dan zakat.Seperti sedia maklum ibadah zakat merupakan salah satu perkara asas yang terkandung dalam rukun islam,bahkan ia menjadi pemisah antara hak dan batil bagi seseorang islam.Ibadah sedekah pula merupakan satu ibadah sunat muakkad yang di tuntut oleh semua orang bagi membantu mereka yang memerlukan.

Disini terdapat beberapa adab-adab kita dalam bersedekah atau zakat yang mana sedikit sebanyak boleh membantu kita dalam mencapai kefahaman bagi diri kita .Antara adab-adabnya ialah:

1)Zakat dikeluarkan hanya kerana Allah Taala.
   ~Mengeluarkan zakat mestilah untuk mendapat keredhaan Allah Taala dan bukan kerana untk mendapat sanjungan atau pujian dari orang ramai atas ibadah kita.Ini kerana mereka yang bersedekah atau mengeluarkan zakat dengan tujuan riak atau takbur akan mendapat balasan azab yang pedih dari Allah Taala dihari kiamat kelak.

Firman Allah Taala dalam surah al lail ayat 17-21 yang bermaksud :"Dan sebaliknya akan dijauhkan azab neraka itu daripada orang yang bertakwa.Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya.Sedang ia tidak menanggung budi siapa pun yang patut dibalas.Hanya mengharapkan keredhaan Tuhannya yang maha tinggi.Dan demi sesungguhnya ia tetap berpuas hati pada hari akhirat dengan mendapat segala yang di harapkan "

2)Zakat merupakan kefardhuan.
 ~Mengeluarkan zakat adalah satu kewajibban kepada seluruh orang yang mempunyai harta yang tertentu untuk dikeluarkan kepada mereka yang memerlukan.Anggaplah bahawa harta yang dimilikinya adalah harta daripada Allah Taala yang dipinjamkan untuk sementara waktu sahaja.

Terdapat hadis nabi saw berkaitan dengan hal ini iaitu :Daripada Abu Hurairah radhiallahanhu berkata,Rasullah saw telah bersabda "Seorang hamba berkata "hartaku! hartaku!! dan sesungguhnya baginya daripada hartanya tiga perkara :Apa yang telah dimakan,maka telah melenyapkan,apa yang telah dipakai maka telah menjadi buruk atau apa yang mereka miliki akan mereka simpan.Selain demikian akan hilanglah dan ia akan meninggalkan kepada orang lain"( hadis riwayat muslim)

3)Harta bertambah dengan berzakat atau sedekah.
 ~Tidak berkurangan harta dengan mengeluarkan zakat atau sedekah bahkan ia akan menambah sebagaimana hadis Rasullah saw yang berbunyi:
 Daripada Abu Hurairah radhiallahanhu telah berkata Rasullah saw "Tidak mengurangkan harta dengan bersedekah dan tidak menambahkan allah dengan sebab kemaafan kecuali kemuliaan dan tidak tawadhu seseorang hamba kepada Allah melainkan Allah Taala akan mengangkat kedudukannya".( hadis riwayat muslim dan at tirmizi)

4)Bersedekah walaupun sedikit.
 ~ Memberi sedekah dengan apa yang dimiliki walaupun sedikit.Janganlah kita sesekali memperlekehkan sedekah walaupun jumlahnya amat sedikit sekali.
 Firman Allah Taala dalam surah al zalzalah ayat 7 "Maka sesiapa berbuat kebajikkan seberat zarrah,nescaya akan dilihatkan( dalam buku amalannya)

Hadis Rasullah saw ada mengatakan iaitu maksudnya "Daripada Abu Barzah al aslami radhiallahanhu berkata,Rasullah saw telah bersabda "Sesungguhnya hamba yang bersedekah dengan sedikit roti akan berkembang disisi Allah sehingga menjadi sebesar bukit uhud"( riwayat at tabrani)

5)Memberi sedekah kepada fakir miskin yang soleh.
 ~Digalakkan kita memberi sedekah kepada fakir miskin yang melaksanakan perintah Allah Taala kerana dengan sedekah itu mereka lebih mudah melaksanakan segala perintah Allah Taala.Jangan sesekali kita memberi sedekah kepada mereka yang melanggar perintah Allah Taala dan dengan sebab sedekah kita itu lebih mempermudahkan mereka untuk melanggar perintah Allah.

Daripada Abu Said Al Khudri radhiallahanhu "Sesungguhnya Rasullah saw telah bersabda :Janganlah kamu berkawan kecualilah dengan orang mukmin dan janganlah memakan makanan kamu kecuali oleh orang yang bertakwa.(hadis riwayat ahmad,an nasaie dan abu daud)

6)Mendahulukan kaum keluarga.
 ~ Mendahulukan kaum keluarga dalam bersedekah sekiranya mereka berhajat kepada sedekah kita sendiri.Firman Allah Taala dalam al quran surah al anfal ayat 75 yang bermaksud "Dan orang-orang yang beriman sesudah itu kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu,maka adalah mereka dari golongan kamu.Dalam pada itu orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang lain menurut hukum kitab Allah.Sesungguhnya Allah maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Rasullah saw bersabda :Sedekah kepada fakir miskin merupakan sedekah dan sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala silaturahim ( riwayat ahmad,an nasaie dan at tirmizi)

Sebenarnya masih terdapat banyak lagi adab kita dalam bersedekah dan berzakat.Disini cukuplah kiranya penulis meletakkan sedikit ilmu dari diri ini yang dhoif lagi lemah untuk berkongsi ilmu dengan para pembaca.Semoga dengan ilmu yang sedikit ini dapat menambahkan lagi kefahaman kita dalam kehidupan kita yang berlandaskan syariat Allah. Semoga kita dapat melebarkan "sayap sedekah" kita hasil dari pemahaman bacaan kita .


No comments:

Post a Comment